Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Malaysia berharap satu kumpulan lebih besar negara Islam dapat menyertai inisiatif dipelopori Pakistan itu untuk membincangkan perkara berkenaan dengan lebih lanjut. Komitmen dari negara-negara tersebut begitu diharapkan sekurang-kurangnya ia mirip seperti sistem Khilafah yang menjadi tunjang kukuh kepada keutuhan manusia sejagat. Walaupun ia sukar untuk dicapai.
Apabila semua negara Islam duduk bersama-sama membincangkan perkara-perkara yang menjadi konflik besar, ia dapat memudahkan umat Islam mencari jalan penyelesaian yang lebih sistematik dan komprehensif terutamanya konflik di Asia Barat. Sebilangan besar rakyat Malaysia mungkin akan berasa putus asa dan dengan kata lain rasa muak lantaran isu Asia Barat ini tidak kunjung penyelesaiannya. Namun, sikap ini tidak sepatutnya ada pada rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan sejagat.
Presiden Pakistan, Prevez Musharraf telah tiba di Malaysia bagi membincangkan inisiatif diusahakan negaranya bersama beberapa negara Islam lain dalam membantu menyelesaikan krisis di Palestin, Lubnan dan Iraq. Sebelum ini, Musharaff telah berbincang dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, pemimpin Mesir, Jordan, Arab Saudi, Syria dan Emiriyah Arab Bersatu. Usaha yang telah dirangka ini amat dialu-alukan ekoran umat Islam kelihatan masih buntu dalam mencari ramuan terbaik untuk menyelesaikan masalah dari peringkat akar umbi.
Sebelum ini, pelbagai pihak sudah berusaha mencari penyelesaian bagi konflik di Asia Barat termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan beberapa kumpulan lain. Sebagai tanda umat Islam masih menaruh harapan terhadap penyelesaian konflik ini, inisiatif ini perlu disokong dan mendapat respon positif semua pihak.
Diharapkan rundingan berkala yang mungkin diadakan nanti tidak hanya membentangkan segala masalah, punca-punca yang berlaku dan kelemahan-kelemahan yang berjaya dikesan tanpa mencari penyelesaian produktif yang mampu mengembalikan kekuatan yang selama ini masih dicari-dicari dan tidak kunjung tiba. Kemungkinan besar, segala masalah yang tidak berjaya diselesaikan ini adalah disebabkan sikap umat Islam yang hanya beretorik dalam ucapan-ucapan dan kenyataan mereka. Mungkin inilah antara punca yang wajar diperhatikan.
Hasrat penyatuan fikrah, idea, pandangan dan buah fikiran ini amat bertepatan dengan seruan Tuhan manusia yang memberi beberapa kaedah dalam menyelesaikan permasalahan dunia seperti ini. Kita memang dituntut untuk bertukar-tukar pandangan dan bermesyuarat seperti yang termaktub dalam surah as-Syura ayat 38. Cumanya, biarlah inisiatif ini lebih terarah dan objektif. Jika ini tidak berlaku, maka benarlah ungkapan sarjana ulung Islam abad pertama hijrah iaitu, Saidina Ali, yanag mengatakan bahawa kebaikan tanpa sistematik akan dihancurkan dan dikalahkan oleh keburukan yang tersusun.
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang masih dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia akan lebih mudah untuk menarik kesemua anggota negara-negara Islam agar menyokong hasrat murni ini. Langkah Malaysia yang menyokong idea Pakistan ini akan memberi kekuatan tambahan kepada negara-negara lain untuk menuruti Malaysia yang selaku pengerusi OIC. Mudah-mudahan dunia hari ini akan menyaksikan gelombang baru abad 21 yang memperlihatkan kebangkitan serius umat yang benar-benar cintakan keamanan, keadilan, keintelektualan dan kesarjanaan sebagai pesaing kepada golongan yang memperalatkan keamanan, keadilan dan sebagainya demi kepuasan diri dan penguasaan rakus terhadap dunia keseluruhannya.
Mohd Dzul Khairi Bin Mohd Noor,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.



No comments:
Post a Comment