Dengan tewasnya Saddam Hussein dan kerajaan Parti Ba’ath Iraq di tangan Amerika Syarikat dan kuncu-kuncunya, pemimpin-pemimpin Arab mula tertanya-tanya dengan penuh kebimbangan, siapakah mangsa sasaran Amerika Syarikat, negara haram Israel dan kuncu-kuncu mereka selapas ini?
Dunia Arab kini melihat dengan jelas bahawa Iran bersama sekutu-sekutu utamanya iaitu Syria dan pergerakan pejuang Hezbollah serta pasukan pejuang-pejuang Islam yang mendapat bantuan langsung atau tidak langsung dari Iran seperti Jihad Islam, Hamas, pasukan pejuang dari Pergerakan Hezb-I-Wahdat (Islamic Unity Party of Afghanistan) yang diasaskan oleh Abdul Ali Mazari dan kumpulan pejuang Islam Syiah pimpinan Ayatollah Moqtada Al Sadr di Iraq dianggap oleh Amerika Syarikat dan negara haram Israel sebagai entiti pejuang Islam yang perlu dihapuskan dengan segera bagi menjamin keselamatan negara haram Israel terjamin dan kepentingan Amerika Syarikat di Asia Barat tidak terancam.
Perkembangan-perkembangan di Asia Barat dan beberapa buah negara Islam lain mutakhir ini, boleh diibarat sebagai bom jangka yang menanti masa untuk meletup dan menggegarkan dunia secara keseluruhannya. Perkembangan-perkembangan yang berlaku di Iran, Syria, Lubnan, wilayah-wilayah Islam Palestin khususnya Semenanjung Gaza, pergolakan bersenjata yang semakin hebat di Iraq dan Afghanistan serta pergolakan politik yang berlaku di Pakistan merupakan percikan-percikan bunga api yang bakal mencetuskan satu lagi persengketaan bersenjata dalam skala yang lebih besar.
Perkembangan-perkembangan ini jika dikaji dengan lebih teliti dan mendalam, ia boleh ditafsirkan sebagai gerakan-gerakan yang dirancang dengan teliti dan rapi oleh Amerika Syarikat dan sekutu kesayangannya, negara haram Israel untuk menewaskan dan menjahanamkan salah satu benteng terakhir umat Islam yang bencikan hagemoni Amerika Syarikat dan kewujudan negara haram Israel – Republik Islam Iran.
Jika di Iraq, setelah mengadakan gencatan senjata dengan kerajaan Saddam Hussein, Amerika Syarikat dengan taktik kotor dan teramat keji mengenakan sekatan ekonomi dan memutuskan hubungan Iraq dengan dunia luar selama sepuluh tahun. Dengan strategi bacul ini, Amerika Syarikat bukan sahaja berjaya melumpuhkan kekuatan dan kemampuan persenjataan tentera Iraq di bawah pimpinan Presiden Saddam Hussein, malah pada masa yang sama ia merupakan tekanan moral ke atas rakyat Iraq dan akhirnya berjaya menumbangkan kerajaan Iraq yang sah dalam Perang Teluk 2 dengan mudah.
Kejatuhan Presiden Saddam bukan sahaja disebabkan oleh kecanggihan senjata dan strategi peperangan oleh Pentagon dan pihak Zionis tetapi ia turut melibatkan beberapa faktor lain. Salah satu faktor kejatuhan Presiden Saddam adalah disebabkan kekejamannya sendiri yang banyak mengorbankan nyawa umat Islam.
Kekejaman Presiden Saddam Hussien ketika di puncak kuasa bukan setakat membunuh nyawa rakyat Iran dan Kuwait disepanjang siri peperangan sesama saudara seagama, tetapi kekejamannya turut membunuh warga Iraq sendiri samada dari puak Syiah malah terdapat mangsa kekejamannya terdiri dari puak Arab dan Kurdis yang bermazhab Sunnah. Sejarah pasti tidak menafikan kuku besi Presiden Saddam Hussien begitu kuat mencengkam para penentangnya, hatta menantunya sendiri.
Namun dengan kejatuhan Presiden Saddam Hussien, tidak bermakna tentera Amerika Syarikat dapat menjajah, menyamun, merompak malah menguasai bumi Iraq secara total. Malah hingga kini, perjuangan berterusan rakyat Iraq dan sukarelawan-sukarelawan Islam dari seluruh dunia Islam berjaya menyebabkan bilangan nyawa tentera Amerika Syarikat yang melayang di Iraq semakin meningkat dengan pengishtiharan ‘angka rasmi bilangan askarnya yang terkorban’ oleh kerajaan Amerika Syarikat telah melebihi 4 000 orang askar.
Bagi situasi Iran, keadaannya amat berlainan. Republik Islam Iran yang dibentuk dan ditadbir dengan kaedah yang hampir mirip kepada sistem pemerintahan bercorak Islam, malah pemimpinnya dilantik melalui pilihanraya dan mempunyai struktur sistem politik ‘check and balance’ yang amat mantap. Iran sehingga kini mempunyai pengaruh yang amat luas di Teluk Parsi, bukan sahaja disebabkan oleh kekayaan minyaknya, tetapi sumbangannya dalam mengimbangi kekuatan ketenteraan negara haram Israel di Asia Barat.
Kebanyakan pasukan pejuang Islam yang berjuang menentang Amerika Syarikat dan negara haram Israel mendapat sokongan dari Republik Islam Iran dalam pelbagai bentuk, setidak-tidaknya sokongan moral selain bantuan-bantuan yang lain seperti bantuan kewangan, latihan serta kehadiran penasihat ketenteraan dan juga alat persenjataan. Berdasarkan analisa oleh beberapa pakar ketenteraan, mereka berpendapat dalam keadaan sekarang untuk Amerika Syarikat menyerang, menakluk dan menghapuskan kekuatan Iran secara langsung seperti yang dilakukan ke atas Afghanistan atau Iraq akan mengambil jalan yang amat panjang dan sangat sukar. Namun perkembangan-perkembangan di pelbagai negara dan wilayah di Asia Barat yang mempunyai hubungan dengan Iran, meletakkan Iran dan sekutu-sekutunya dalam keadaan berjaga-jaga pada tahap merah.
Gelora Di Afghanistan
Di Afghanistan, walaupun Pakatan Utara telah berjaya menguasai Afghanistan dengan bantuan Amerika Syarikat dan menamakan Hamid Karzai sebagai Presiden Afghanistan, mereka gagal untuk meletakkan Afganistan dalam suasana yang aman dan damai. Pakatan yang bersifat longgar turut mengundang pertempuran sesama sendiri antara puak-puak yang bersekutu di dalam Pakatan Utara ini dan pada masa yang sama ramai gabenar-gabenor wilayah yang dilantik tidak memberikan sumbangan dana hasil dari cukai dan pendapatan wilayah bagi pembangunan Afghanistan kepada kerajaan pusat di Kabul.
Keadaan ini bukan sahaja merencatkan pemulihan Afghanistan tetapi juga menyebabkan program penyusunan semula Angkatan Tentera Nasional Afghanistan (Afganistan National Army – ANA) turut terjejas. Terdapat tentera yang tidak dibayar gaji, peralatan ketenteraan yang tidak mencukupi dan infrastruktur yang menyedihkan.
Terdapat anggota tentera yang lari meninggalkan tugas ataupun yang menghilangkan diri semasa program latihan. Semua ini tidaklah seburuk igauan ngeri anggota Tentera Nasional Afghanistan yang terpaksa berhadapan dengan pertempuran menentang Taliban yang masih aktif beroperasi. Malah operasi-operasi yang dijalankan oleh pejuang Taliban bukanlah operasi gerila secara kecil-kecilan tetapi ia merupakan operasi ketenteraan berskala besar, dan dirancang rapi. Operasi oleh pejuang Taliban bukan setakat operasi serangan hendap dan lari, tetapi ia telah banyak menggerakkan operasi berskala besar yang melibatkan penawanan bandar seperti Zabul dan turut menggegarkan Kandahar.
Malah pada Jun 2008, pejuang Taliban telah menyerang penjara Afghanistan dalam satu operasi khas yang dirancang dengan rapi dan membebaskan lebih 800 tahanan yang sebahagian besarnya adalah pejuang Taliban.
Pejuang Islam Taliban ini turut meletakkan tentera Amerika Syarikat, sekutu-sekutunya dari NATO dan beberapa negara lain sebagai sasaran mereka yang utama. Pejuang Taliban ini sudah pastinya mendapat bantuan dan sokongan penuh pejuang-pejuang Islam yang bernaung dibawah Al Qaeda yang sangat aktif beroperasi di serata Afghanistan. Kedua-dua pasukan pejuang ini turut dibantu oleh puak Pashtun yang dipimpin veteran Mujahidin Afganistan era anti- Soviet dahulu iaitu Gulbuldin Hekmatyar.
Suasana yang tegang di Afghanistan ini sangat jarang diketengahkan atau didedahkan di dada-dada akhbar rasmi mahupun siaran televisyen yang dikuasai Amerika Syarikat. Namun baru-baru ini dalam bulan April 2008, Amerika Syarikat mengumumkan kesediaannya untuk menghantar pasukan elit tambahan seramai 2 000 orang untuk menguatkan pasukan sedia ada. Kononnya kehadiran pasukan elit tambahan ini akan dapat menggandakan usaha untuk menghapuskan penentangan dan mengurangkan risiko serangan ke atas pengkalan tentera Amerika Syarikat & Eropah di Afganistan oleh para pejuang Mujahidin, Taliban dan Al Qaeda. Pada satu keadaan ia merupakan petanda tersembunyi yang membayangkan kedudukan Amerika Syarikat serta sekutu-sekutunya yang menerima penentangan sengit di Afghanistan.
Dalam satu keadaan yang lain pula, ia merupakan sebahagian dari pergerakan ketenteraan Amerika Syarikat yang wajar diberikan perhatian serius oleh Republik Islam Iran. Apa yang pasti adalah kewujudan pengkalan tentera Amerika Syarikat dan Eropah yang sedia ada di Afghanistan akan digunakan sebagai pengkalan hadapan Amerika Syarikat dalam usahanya untuk menyerang Iran dari arah sempadan Afghanistan. Kehadiran pasukan elit yang sangat ramai pada satu-satu masa akan meningkatkan tekanan kepada kerajaan Iran yang bakal menghadapi serangan Amerika Syarikat dari pelbagai arah.
Namun begitu di sebalik keghairahan Amerika Syarikat ini, pentadbiran Washington amat bimbang dengan kemungkinan serangan oleh pejuang Mujahidin pimpinan Gulbuldin Hekmatyar, puak Taliban dan Al Qaeda ke atas segala infrastruktur Amerika Syarikat di Afghanistan ketika tentera Amerika Syarikat bergelut dengan serangan balas Iran nanti. Pada masa yang sama Amerika Syarikat turut bimbang dengan campurtangan puak Hazara berfahaman Islam Syiah yang menganggotai pasukan pejuang Hezb-I-Wahdat yang merupakan sekutu rapat Iran di Afganistan. Pejuang Hezb-I-Wahdat ini beroperasi dengan aktif di sempadan Iran – Afganistan.
Sekiranya Amerika Syarikat masih berhasrat menggunakan Afghanistan sebagai salah satu kawasan operasinya ke atas Iran, Amerika Syarikat harus bekerja keras untuk menghapuskan sehingga bersih kesemua penentangan ke atas kehadirannya secara haram di bumi Afghanistan. Namun begitu usaha ini nampaknya semakin sukar berikutan aktiviti pejuang Afganistan yang semakin aktif, agresif dan pada masa yang sama mendapat sokongan ramai warga Afghanistan yang bencikan kehadiran Amerika Syarikat dan missionari Kristian di negara mereka.
Gelora Di Iraq
Iraq menyaksikan gelombang perang yang tidak berkesudahan. Walaupun bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein yang digulingkan telah kembali ke Rahmatullah hasil perbuatan keji dan menjijikkan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya, penjajah Amerika seolah tidak puas dengan penggulingan dan pembunuhan presiden malang tersebut bersama anggota kerajaannya. Malah kehadiran penjajah Amerika Syarikat dan sekutunya di Iraq seolah-olah masih belum berjaya ‘membebaskan’ rakyat Iraq dari belenggu ‘rejim Saddam Hussein’ yang telah pun hilang dari lipatan hayatnya.
Amerika Syarikat sebenarnya telah merancang untuk berada lebih lama di Iraq. Mereka telah melakukan pelbagai helah agar kehadiran mereka di Iraq diperlukan dan tiada penentangan dari kerajaan boneka Nouri Al-Maliki. Sehingga kini tiada tanda yang mereka akan berundur dari bumi Iraq. Bagi menampung kos penjajahannya ke atas Iraq serta menampung kos membantu anak emasnya iaitu negara haram Israel , Amerika Syarikat harus menjajah, melanun, merompak dan menghisap minyak Iraq sehingga kering. Malah kehadiran tentera Amerika Syarikat bersama infrastrukturnya ketenteraan yang kekal seperti lapangan terbang, kem-kem tentera dan pembukaan garison-garison baru seolah-olah mahu menjadikan Iraq sebagai salah satu dari pengkalan hadapan bagi Amerika Syarikat untuk menyerang Iran.
Akhbar Telegraph pada 9 April 2008 melaporkan terdapat pelan dan perjanjian sulit yang dirangka oleh Amerika Syarikat bagi membenarkan tentera penjajah Amerika untuk kekal di Iraq walaupun tempoh mereka untuk beroperasi di Iraq telah tamat. Draf perjanjian berkenaan akan turut membenarkan tentera penjajah Amerika menjalankan operasi ketenteraan di Iraq dan menangkap mana-mana individu yang mengancam keselamatan Iraq. Namun begitu, seperti biasa kenyataan lidah bercabang pegawai-pegawai tentera penjajah Amerika Syarikat menyatakan bahawa kehadiran mereka hanya bersifat sementara dan Amerika kononnya tidak bercadang untuk membina penempatan kekal apatah lagi menggunakan Iraq sebagai tapak untuk menyerang negara asing.
Timbul persoalan, negara asing manakah yang dimaksudkan? Negara asing tersebut tidak lain adalah Republik Islam Iran yang berjiran dengan Iraq dan merupakan ancaman utama kepada kedudukan Amerika Syarikat sebagai penjajah dan lanun di Iraq serta kesinambungan Israel yang bertapak secara haram di rantau Timur Tengah. Ancaman kedua yang perlu dihapuskan adalah kerajaan Alawiyah Syria yang diperintah Presiden Basyar Assad yang merupakan sekutu kuat Iran dan negara yang berpengaruh di dunia Arab selepas kejatuhan Iraq.
Apa yang berlaku hari ini di Iraq kehadiran penjajah Amerika Syarikat mendapat ‘sambungan hangat’ dengan penentangan menyeluruh dari rakyat Iraq yang berjuang menghalau penjajah Amerika Syarikat keluar dari Iraq. Perjuangan rakyat dan mujahidin Iraq untuk menghalau keluar Amerika Syarikat dari Iraq semakin bertambah hebat dengan terdapat pelbagai kumpulan pejuang yang beroperasi di seluruh Iraq walaupun kebanyakan gerakan pejuang berada dalam keadaan serba kekurangan, tidak diurus dan diorganisasi dengan teratur, tanpa pemimpin utama yang menyatukan mereka hatta operasi yang dijalankan oleh para pejuang mujahidin Iraq tidak ada sebarang penyelarasan dan perancangan peperangan secara skala besar.
Mujahidin Iraq meletakkan sasaran mudah dalam setiap operasi mereka – membunuh seberapa ramai warga asing samada dari Amerika Syarikat atau Eropah dan tidak memilih samada mereka anggota tentera tetap, tentera upahan atau pekerja-pekerja asing. Siapa sahaja yang mereka kenal pasti sebagai ejen penjajah akan dihapuskan. Malah mubaligh Kristian yang menjalankan operasi mereka turut menjadi sasaran dan dianggap sebagai musuh utama yang setara dengan penjajah Amerika Syarikat.
Kerajaan Perdana Menteri Iraq, Nouri Al Maliki yang secara terang-terangan disokong oleh Amerika Syarikat mendapat tentangan sengit dari rakyat dan pejuang Iraq yang berfahaman Sunnah dan Syiah serta dibantu oleh sukarelawan-sukarelawan Arab yang mendapat latihan ketenteraan di Afghanistan. Bagi pejuang Arab-Afghan, Iraq dianggap sebagai ‘simulator hidup’ bagi siri latihan perang mereka.
Lemas dengan pertempuran dan kejadian pengeboman jalanan yang disasarkan ke atas tentera penjajah Amerika Syarikat dan turut melibatkan tentera Iraq yang baru, kerajaan boneka Nouri Al-Maliki dengan tekanan dan arahan dari penjajah Amerika Syarikat terpaksa mengeluarkan arahan dan menguatkuasakan undang-undang agar semua pejuang Iraq, samada individu atau berkumpulan meletakkan senjata. Individu yang didapati ingkar akan dikenakan hukuman mati manakala kumpulan atau parti politik yang terlibat tidak dibenarkan terlibat dalam proses pilihanraya.
Ulama muda Iraq, Ayatollah Moqtada Al-Sadr yang menguasai Sadr City melalui tentera Jaish Al-Mahdi (Tentera Al Mahdi) pimpinannya telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata pada Julai 2007 dan mengetuai blok-Syiah dalam kerajaan Nouri Al-Maliki. Walaupun telah ‘menganggotai kabinet kerajaan Nouri Al Maliki’ dalam tempoh tersebut para pejuangnya tidak menyerahkan senjata mereka sebagaimana arahan Perdana Menteri Nouri Al Maliki. Malah keadaan berlaku sebaliknya dengan Jaish Al-Mahdi sentiasa diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Ayatollah Moqtada Al-Sadr pada 8 April 2008 menekankan bahawa beliau bersedia membubarkan Jaish Al-Mahdi dan menyerahkan semua kelengkapan ketenteraan yang dimilikinya, tetapi tindakannya itu haruslah mendapat persetujuan semua Ayatollah lain yang berada di Iraq terutama dari Ayatollah Agung Iraq, Ayatollah Ali Al-Sistani serta mendapat restu dari Majlis Ayatollah yang diketuai oleh Ayatollah Kazim Al-Haeri yang berpusat di Kota Qom , Iran.
Keengganan Ayatollah Moqtada Al-Sadr membubarkan Jaish Al-Mahdi dan penyerahan kelengkapan persenjataan, serta merta mencetuskan pertempuran awal yang meragut 30 nyawa orang awam. Cubaan tentera boneka Iraq dengan dibantu oleh tentera infantri, kereta-kereta kebal serta helikopter Amerika Syarikat telah menceroboh Sadr City dan mendapat tentangan sengit dari pejuang Syiah dan penduduk Sadr City sendiri.
Ayatollah Moqtada Al-Sadr dalam reaksi balasnya memberikan amaran agar kerajaan Nouri Al-Maliki dan penjajah Amerika Syarikat menghentikan operasi ke atas Sadr City atau terpaksa menghadapi tentangan menyeluruh dan berskala besar dari Jaish Al-Mahdi. Ayatollah Moqtada Al-Sadr malah mengancam untuk menggerakkan Jaish Al-Mahdi di seluruh wilayah Iraq bagi membantu pejuang Syiah dan penduduk Sadr City menentang pencerobohan ke atas bandar mereka.
Amerika Syarikat telah menggunakan kerajaan Nouri Al-Maliki untuk menundukkan dan menghapuskan tentangan dari puak Syiah atas alasan bagi menstabilkan keamanan di Iraq. Hakikat sebenarnya, penghapusan penentangan oleh puak Syiah dan Jaish Al-Mahdi akan dapat menghapuskan risiko serangan balas oleh puak Syiah amnya dan Jaish Al-Mahdi khususnya sekiranya Amerika Syarikat menyerang dan menakluk Iran. Amerika Syarikat amat menyedari terdapat pertalian dan sentimen persamaan pegangan agama Islam dan mazhab Syiah di antara warga Iran dan warga Syiah Iraq.
Malah ramai dari Ayatollah-Ayatollah yang ternama dan dihormati oleh warga Syiah di Iraq mendapat pendidikan dan pengajian di Kota Qom, Iran dan ada pula Ayatollah-Ayatollah yang bermastautin di Iraq berasal dari Iran seperti Ayatollah Ali Al-Sistani yang berasal dari Sistan, Iran.
Amerika Syarikat juga amat bimbang dengan serangan balas Jaish Al-Mahdi ke atas pengkalan dan kemudahan tentera Amerika Syarikat di Iraq. Malah Amerika Syarikat turut bimbang dengan serangan dan sabotaj yang bakal dilakukan oleh Jaish Al-Mahdi ke atas formasi tentera Amerika Syarikat yang bakal berhadapan dengan tentera Iran di sepanjang sempadan Iran-Iraq. Jika ini berlaku, impian dan keinginan Amerika Syarikat & negara haram Israel untuk melihat Iran tersungkur dan tewas pasti akan musnah, malah kedudukan Amerika Syarikat bersama kepentingan Zionis dalam usaha merompak hasil bumi Iraq akan turut terancam.
sumber dari
http://uniprof.wordpress.com/2008/06/19/gelora-asia-barat-%E2%80%93-krisis-yang-tiada-noktahnya-siri-4/